Powered by Blogger.

Tuesday, October 11, 2011

PerGI nYa SeOraNg SeNimaN

SHAH ALAM: Jenazah penyanyi veteran Datuk Mohd Jais Ahmad atau lebih dikenali sebagai Ahmad Jais selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini hari ini pada kira-kira 2 petang. 

Terdahulu jenazah allahyarham disembahyangkan di Masjid Negeri Shah Alam selepas solat Zuhur.

Antara rakan artis yang memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham ialah Datuk A Rahman Hassan, Uji Rashid dan anaknya Chico, Baharuddin Omar, Datuk Aziz Satar, Datuk Sharifah Aini, Datuk D.J Dave, Nash, Herman Tino, Jamal Abdillah, Abon, Hamid Gurkha dan Hail Amir.Allahyarham meninggal dunia di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) di sini pada jam 9.20 pagi dipercayai akibat masalah paru-paru. Allahyarham meninggalkan lima orang anak manakala isterinya Mas Halilah Mas Nayeem telah meninggal dunia pada 22 Jun 2009. 

Anak keempat Allahyarham, Maimun, 31, ketika ditemui selepas pengebumian, berkata Allahyarham mengucapkan berbanyak terima kasih kepada rakan artis seangkatan serta artis-artis muda, sanak saudara dan juga peminat yang tidak putus-putus menziarahinya sejak dimasukkan ke hospital. 
Katanya, sebelum bapanya meninggal dunia, beliau dan adiknya Mashita, 25, dipanggil oleh jururawat pada jam 9 pagi kerana tekanan darah Allahyarham jatuh dan 20 minit kemudian disahkan meninggal dunia. 
Anak sulung Allahyarham, Mohamad Iskandar, 45, yang bekerja sendiri di Singapura berkata, kali terakhir beliau menemui bapanya pada Ahad lalu dan ketika itu keadaan kesihatan bapanya bertambah baik. 
Rakan artis, Aziz Satar pula berkata beliau memang mengetahui Allahyarham menghidapi semput sejak sama-sama di Singapura dahulu dan malam tadi beliau ada menziarahi Allahyarham tetapi tidak menyangka rakannya itu pergi buat selama-lamanya pagi tadi. 
Nash pula berkata, Allahyarham banyak memberi nasihat kepada beliau dalam kerjayanya dan suara lunak Allahyarham ketika mendendangkan "Selamat Hari Raya" memang tiada tandingan kerana ia mampu memeriahkan suasana Hari Raya dan lagu ini sentiasa berkumandang di corong radio apabila 1 Syawal menjelma. 
Sharifah Aini pula berkata, kali terakhir beliau menziarahi Allahyarham di hospital minggu lalu dan beliau memang sering bertanya khabar dengan Allahyarham sebelum ini



0 ulasan:

banner