Powered by Blogger.

Friday, May 28, 2010

PERHATIAN BUAT ANAK DARA KAT LUAR TU

KUALA LUMPUR: “Kami tak bersedia menghapuskan adat melarikan gadis sebelum dikahwini walaupun ia dianggap jahat kerana ia diperturunkan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya sejak dulu,” kata seorang pemuda Lombok, Indonesia, Novian Arif, 40.
Bagaimanapun, dia yang ditemui baru-baru ini di pulau berkenaan ketika misi menyelamat gadis Iban berusia 15 tahun dari Sarawak, Steffanie Liana anak Langka yang memasuki Indonesia secara haram, mengakui adat berkenaan hanya diguna sesama mereka untuk gadis berusia lebih 18 tahun.
Menurutnya, jika seseorang lelaki dari daerah berlainan didapati melarikan gadis bawah umur, pemuda terbabit akan dikenakan hukum adat.
Mengejutkan apabila Novian memberitahu hukum adat paling keras yang boleh dikenakan terhadap lelaki melakukan kesalahan itu ialah hukuman mati.
“Memang diakui kami melarikan gadis untuk dijadikan pasangan hidup sama ada dia suka atau tidak. Contohnya dengan berpura-pura bermaksud baik kononnya mahu menghantar seseorang gadis pulang ke rumah, tapi gadis itu akan dilarikan ke rumah keluarga atau saudara lelaki itu.
“Kemudian, gadis itu akan ‘disimpan’ untuk tempoh tertentu, biasanya seminggu hingga dua minggu sementara keluarga pihak lelaki melakukan perundingan mahar dengan keluarga pihak perempuan. Pihak lelaki yang mempunyai kuasa dalam sebarang keputusan.


“Adat ini simbol kehebatan lelaki suku Sasak. Tetapi, hukum bunuh untuk kes larikan gadis bawah umur kini tidak lagi diguna pakai sejak awal 1970-an selepas pemerintah mula campur tangan,” kata Novian yang berasal dari Desa Taman, Mataram, Lombok.

Katanya, perjanjian adat melarikan gadis juga kini mempunyai pilihan. Contohnya ketika ini setiap kali pemuda Lombok ingin berkahwin mereka akan bertanyakan kepada ibu gadis yang diidamkan sama ada mahu menggunakan kaedah lari atau lamar.

Menurutnya, jika ibu gadis terbabit mahukan cara lamar, lelaki terbabit akan menghantar keluarga untuk melamar, tetapi jika sebaliknya, gadis berkenaan akan dilarikan terlebih dulu.
Ditanya mengenai trend membawa lari gadis Malaysia ke Lombok yang makin kerap dilaporkan akhir-akhir ini, Novian mendakwa kebanyakan kes itu dilakukan pemuda Lombok yang berasal dari desa terpencil.
“Pemuda Lombok yang bekerja di Malaysia kebanyakannya berasal dari pedalaman yang masih kuat memegang hukum adat asal.
“Malah, biasanya mereka tak pernah sampai pun di bandar Mataram. Terus saja ke Malaysia sebaik selesai direkrut ejen (pekerja asing), sebab itu mungkin perkara ini (larikan gadis Malaysia) terjadi. Mereka terkejut dengan (suasana) tempat lain yang berbeza dengan tempat sendiri.
“Cara merekrut pekerja senang saja. Seseorang pemuda perlu mengangkat guni seberat kira-kira 100 kilogram naik ke bukit dalam jarak tertentu dan jika terjatuh, mereka tak layak. Jika tak jatuh dia akan layak tidak kira apa latar belakang sekali pun,” katanya.
Statistik dikeluarkan organisasi sukarela Perhimpunan Indonesia Untuk Buruh Migran Berdaulat (Migrant Care) mendapati kira-kira 600 wanita negara ini kahwin lari dan kini berada di Lombok, manakala Pergerakan Puteri Umno memperoleh maklumat menunjukkan lebih 500 wanita dilarikan ke Lombok.

0 ulasan:

banner